Friday, August 24, 2007

Bukan Pas Yang Perjuangkan Kemerdekaan




Sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50, kita pasti sudah bersiap sedia dari awal untuk meraikannya dengan gilang gemilang.Berbagai-bagai cara yang kita gunakan untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan kemerdekaan ini.

Keadaan ini tidak terkecuali juga kepada barisan kepimpinan Parti Islam Semalaysia (Pas). Tetapi sayangnya,dilihat ialah mereka akan menyambutnya dengan cara dan gaya yang berbeza…Sambutan yang dijalankan oleh Pas adalah dengan mengedarkan sejuta risalah yang membawa tema “Selamatkan Malaysia”.

Yang menjadi persoalannya, sudah terlaksanakah tanggungjawab Pas membela nasib rakyat jelata...Dan, apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan ”Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan” sepertimana yang dilaungkan dan menjadi tema sambutan kemerdekaan mereka pada tahun ini?

Apa yang dapat dilihat, motif sebenar mereka menyebarkan risalah tersebut adalah lebih kepada menanam kebencian terhadap pemimpin negara pada masa kini. Harapan mereka agar rakyat mempercayai bahawa kezaliman, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, kebejatan ekonomi, kemungkaran dan sebagainya begitu berleluasa di negara ini akibat corak kepimpinan yang tidak betul.

Mereka juga cuba melenyapkan kejayaan yang telah dicapai oleh negara dari segi ekonomi dan juga kemakmuran yang mencakupi kepelbagaian bangsa yang mana hasil daripada perjuangan seimbang kepimpinan di bawah pentadbiran BN.

Tidak cukup dengan itu, Pas umpama masuk bakul, angkat sendiri apabila cuba pula untuk mengangkat beberapa orang tokoh lama parti itu, yang kononya turut sama berjuang dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan negara sebelum ini.

Persoalannya, apakah yang hendak diselamatkan oleh barisan kepimpinan Pas itu? Tidakkah mereka terfikir apa yang cuba diwar-war itu adalah sesuatu yang tidak releven dan tersasar daripada motif sebenar perjuangan mereka. Cara mereka dengan mengumpan strategi perjuangan berbentuk Islam juga tidak lebih sebagai jalan pintas untuk mereka merealisasikan impian mengambil alih tampok pemerintahan negara.

Sebenarnya,itu tema Pas yang berbunyi `Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan’ adalah merupakan suatu perancangan dan persiapan bagi seluruh jentera Pas bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 semata-mata.

Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan “Kita melihat kemerdekaan negara ini semakin terhakis dan kedaulatan kian hilang”, sepertimana yang diucapkan oleh Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar dalam kempen-kempen politik menerusipenjelajahan seluruh negara itu?

Kenapakah beliau masih juga mempertikaikan dengan berkata “Jadi dengan berasaskan kepada keadaan sekarang, dapat dilihat pelbagai masalah yang berlaku dalam tempoh 50 tahun negara kita merdeka”. Tidakkah beliau sedar, selama 50 tahun merdeka,negara kita begitu cemerlang dan gemilang?

Dimanakah relevannya pengedaran risalah parti Pas ini? Atau adakah Pas mahu mengajak semua rakyat membuat penilaian terhadap pencapaian negara sejak 50 tahun merdeka…Apakah langkah selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh mereka bagi meneruskan perjuangan mereka itu?

Akan berjayakah strategi yang dijalankan serta terpanggilkah rakyat untuk menyahut seruan parti Pas yang kita sendiri tidak tahu hala tujunya itu…

Secara logiknya,bukankah ini merupakan pelik dan usaha yang mereka dilakukan ini sia-sia belaka? Semata-mata untuk meracuni pemikiran rakyat yang mudah terpengaruh dan menjatuhkan kekredibilitian kepimpinan kerajaan masa kini, mereka sanggup melakukan apa saja.

Agaknya pihak Pas sudah kehilangan idea untuk meraih undi rakyat dan mampukah parti ini terus berjuang mencuba nasib mereka untuk menjadi pemerintah baru.

Mungkinkah Pas telah menyalahgunakan wang peruntukan kerajaan sebanyak RM30 ribu untuk setiap ahli parlimen bagi menjadikan aktiviti sambutan 50 tahun kemerdekaan?

Peruntukan yang diberikan itu semata-mata untuk sambutan kemerdekaan ke-50. Seharusnya, perjuangan mereka tidak terpesong daripada semangat kemerdekaan dan tidak bercampur aduk denagn agenda-agenda politik.

Sepatutnya sebagai rakyat yang cintakan negara sudah pasti kita tidak akan ketinggalan untuk memeriahkan suasana dengan mengadakan aktiviti-aktiviti menarik seperti gotong royong, perarakan, pertunjukan, persembahan dan kempen-kempen mengibarkan jalur gemilang sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ini...

Seelok-eloknya Pas melupakan sengketa mengenai hal-hal berunsur politik sementara waktu dengan menyertai kerajaan pimpinan Barisan Nasional dan UMNO bagi meraikan kemerdekaan yang ke-50 negara , agar negara kita terus makmur.

No comments: